Setiap manusia pasti merasai mati dan azabnya sakaratulmaut. Kesakitan ketika nyawa dicabut oleh malaikatul maut tidak dapat dibayangkan sama sekali.
Nabi Muhammad SAW ada bersabda, maksudnya:
“Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan keseksaannya, maka sabda Baginda: Iaitulah sakitnya 300 kali tetakan pedang.”
Bayangkanlah jika kita ditetak atau dipukul dengan kayu, rotan mahupun besi bukan banyak, cuma sekali saja, itu pun sudah tidak dapat digambarkan kesakitannya. Inikan pula ditetak dengan 300 kali tetakan!.
Mari kita bayangkan andainya ditanggalkan kuku daripada isinya, pastinya sakit tidak tertahan.
Seterusnya, daging disiat-siat dan dilapah hidup-hidup serta dahaga yang amat sangat sehingga air lautan di dunia ini tidak mampu menghilangkannya.
Semuanya itu hanya secebis daripada perbandingan kesakitan maut, malah beribu-ribu kali lebih sakitnya daripada itu.
Oleh yang demikian, untuk meringankan keseksaan roh ketika dicabut oleh malaikat maut, maka digariskan beberapa amalan tertentu yang perlu diamalkan. Antaranya:-
Sebelum tidur:
1] Bacalah surah Al-Ikhlas tiga kali
2] Selawat ke atas Nabi
3] Membaca tasbih
Amalan harian:
1] Sentiasa membaca Al-Quran
2] Memelihara solat terutama solat fardu
3] Menghormati (jangan bercakap) waktu azan diperdengarkan
4] Membaca tasbih
5] Membanyakkan sedekah
6] Sentiasa berzikir menyebut Allah
Amalan yang perlu dijauhi:
1] Dusta
2] Khianat
3] Mengadu domba
4] Kencing berdiri
Rasullullah ada berpesan kepada umatnya :
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Bersuci kamu sekalian dari buang air kecil kerana sesungguhnya kebanyakkan seksa kubur itu dari sebab buang air kecil.”
★ Kisah Nabi Idris Mengenai Sakaratulmaut ★
Pada suatu hari malaikatul maut datang untuk bertemu dengan Nabi Idris as lalu Nabi Idris meminta agar malaikatul maut mencabut nyawanya dan kemudian Allah menghidupkannya kembali.
Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris AS mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi.
Maka Allah memberikan wahyu kepada malaikatul maut supaya mencabut nyawa Nabi Idris dan meninggalkan ketika itu juga.
Malaikatul maut menangis dan memohon kepada Allah supaya Dia (Allah) menghidupkan kembali Nabi Idris lalu dimakbulkan Allah.
Setelah malaikat mendapati Nabi Idris AS sudah hidup kembali, malaikatul maut bertanya:
“Ya saudaraku, bagaimana rasanya kesakitan maut?”
Jawab Nabi Idris :
“Sesungguhnya ibarat terkelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup, maka rasa sakit menghadapi maut itu lebih dari 1000 kali sakitnya.”
Kata malaikat maut:
“Secara berhati-hati dan tidak kasar yang telah saya lakukan khusus mencabut nyawa engkau itu, belumlah pernah aku lakukan terhadap seseorang pun.”
★ 70 kali Sehari Malaikat Maut Melihat Kita ★
Betapa kerapnya malaikat maut melihat dan merenung wajah seseorang, iaitu dalam masa sehari sebanyak 70 kali.
Sekiranya manusia sedar hakikat tersebut, nescaya dia tidak akan lalai mengingati mati. Tetapi oleh kerana malaikat maut adalah makhluk ghaib, manusia tidak melihat kehadirannya, sebab itu manusia tidak menyedari apa yang dilakukan oleh Malaikat Izrail.
Justeru itu tidak hairan jika ramai manusia yang masih mampu bersenang riang dan bergelak ketawa, seolah-olah dia tiada masalah yang perlu difikir dan direnungkan dalam hidupnya.
Sebuah hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas RA yang bermaksud :
“Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa.
Maka berkata Izrail:
“Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa.”
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati.
Antara lain menjelaskan bahawa Izrail merasa kesedihan apabila dibebankan dengan tugas mencabut roh makhluk-makhluk bernyawa kerana di antara makhluk bernyawa itu termasuk manusia yang terdiri dari kekasih-kekasih Allah, iaitu para Rasul, para Nabi, para wali-wali dan orang-orang soleh.
Seterusnya, malaikat maut mengadu kepada Tuhan betapa dirinya tidak disenangi oleh keturunan Adam, dia mungkin dicemuh kerana dia ditugaskan mencabut roh manusia, yang akan menyebabkan orang akan berdukacita, kerana kehilangan sanak keluarga dan orang-orang yang tersayang di kalangan mereka.
Walaubagaimanapun, adalah menjadi hak Allah Taala untuk menentukan kematian seseorang itu sama ada bersebab atau tidak.
Ketika datangnya malaikat maut hendak mencabut roh seseorang, tetapi manusia yang dikunjungi malaikat maut sedang dalam keadaan seronok bergelak ketawa, hingga malaikat maut merasa hairan terhadap manusia itu.
Ini membuktikan bahawa kematian itu tidak pernah mengenal samada seseorang yang sedang sakit ataupun ketika sihat. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya. “
(Surah Al-A’raf: ayat 34)
Allah merahsiakan saat kematian kita, adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sedalam mana pula kita meninggalkan larangannya.
Manusia yang hatinya sentiasa ingatkan mati, akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepadanya dengan lebih jujur, bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk mendapat keredhaan Allah.
Manusia begini sentiasa merasai setiap tingkah lakunya diperhatikan oleh Allah SWT.
Oleh yang demikian, setelah kita faham setiap tanggungjawab dan amanah yang dipikul akan ditanya satu persatu oleh Allah di akhirat kelak pastinya kita akan bersungguh-sungguh melaksanakan segala amanah dengan jujur dan ikhlas.
Marilah kita mengingati mati yang bakal datang pada bila-bila masa
Tiada ulasan:
Catat Ulasan