Ahad, 13 Julai 2014

KISAH KHALID AL-WALID PART 2 ( MEMELUK ISLAM)

Sebuah perjanjian damai selama 10 tahun dimeterai orang Islam dan Quraisy Makkah dengan [Perjanjian Hudaibiyah pada tahun 628.

Dicatatkan bahawa Nabi Muhammad memberitahu saudara Khalid, Walid bin Walid, bahawa:

"Seorang lelaki seperti Khalid, tidak akan dapat menjauhkan dirinya daripada Islam buat masa yang lama".Walid mengirim surat kepada Khalid untuk memujuknya memeluk Islam.

Khalid, yang sebenarnya tidak beberapa tertarik dengan berhala yang terdapat di Kaabah, membuat keputusan untuk memeluk Islam dan dikatakan telah berkongsi keputusannya dengan rakan zaman kanak-kanaknya, Ikrimah bin Abu Jahal.

Ikrimah tidak bersetuju dengan keputusan yang diambil Khalid. Abu Sufyan bin Harb mengugut Khalid akan tetapi beliau ditahan Ikrimah yang dilaporkan telah berkata:

"Bertenang ya Abu Sufyan! Kemarahan anda mungkin juga mendorong saya untuk menyertai Muhammad. Khalid bebas untuk memilih mana-mana agama yang dipilihnya."

Pada Mei 629 M, Khalid bergerak menuju ke Madinah. Dalam perjalanannya ke kota itu beliau bertemu Amr al-As dan Uthman bin Talha, yang juga dalam perjalanan ke Madinah untuk memeluk Islam.

Mereka tiba di Madinah pada 31 Mei 629 dan pergi ke rumah Nabi Muhammad. Khalid disambut oleh abangnya Walid bin Walid dan merupakan orang yang pertama antara yang tiga untuk memeluk Islam.

           ♥KEMPEN KETENTERAAN BELIAU♥

Perang Mu'tah

Rencana utama: Perang Mu'tah

Tiga bulan selepas ketibaan Khalid di Madinah, Nabi Muhammad menghantar seorang utusan kepada kerajaan Ghasan Syria, sebuah kerajaan ufti di bawah Empayar Byzantine, dengan sepucuk surat yang mempelawa raja Ghasan untuk memeluk Islam.

Semasa melintasi Mu'tah, utusan ini dipintas dan dibunuh seorang ketua Ghasan tempatan yang bernama Syuhrabil bin Amr. Secara resamnya, utusan diplomatik terselamat daripada serangan dan berita tentang serangan ini menimbulkan kemarahan Madinah.

Sebuah ekspedisi ketenteraan ditubuhkan untuk menghukum pihak Ghasan. Rasulullah (SAW) melantik Zaid bin Harithah sebagai panglima pasukan Muslim.

Sekiranya Zaid gugur, tampuk pemerintahan akan diambil alih Ja'afar bin Abi Talib, dan sekiranya Ja'afar juga gugur, tentera Islam akan dipimpin Abdullah bin Rawahah. Dan sekiranya ketiga-tiga orang ini juga terbunuh, maka anggota ekspedisi ini harus memilih seorang daripada mereka sebagai ketua.

Kesemua yang dinamakan sebagai panglima itu gugur semasa pertempuran dan Khalid dipilih tentera Islam sebagai pengganti.

Beliau berjaya memimpin angkatan ekspedisinya seramai 3,000 orang menentang ketumbukan besar Empayar Byzantine dan Ghasan seramai 200,000 orang dalam apa yang disebut pertempuran Mu'tah.

Khalid mengambil alih tampuk pimpinan tentera Muslim pada saat yang genting, dan mengubah apa yang berkemungkinan menjadi penyembelihan orang Islam kepada satu pengunduran strategik dan berjaya menyelamatkan pasukan Muslim daripada musnah keseluruhannya.

Khalid menghantar sebahagian pasukannya ke belakang ketumbukan utamanya pada waktu malam.

Pada keesokan hari mereka diarah menyertai dalam kumpulan-kumpulan kecil, menimbulkan tanggapan bahawa pasukan Islam sedang diperkukuhkan dan sekaligus menurunkan semangat tentera musuh.

Pada hari pertempuran, Khalid berjaya mengekalkan barisan depannya dan tentera Muslim berundur ke Arabia pada waktu malam hari pertempuran.

Pasukan Byzantine tidak memburu tentera Muslim kerana mempercayai bahawa mereka akan diperangkap tentera Muslim.

Dikatakan bahawa Khalid berjuang dengan berani pada Pertempuran Mu'tah dan telah mematahkan sembilan bilah pedang semasa bertempur.

Beliau diberi gelaran Saifullah al-Maslul kerana berjaya menyelamatkan tenteranya daripada dimusnhakan musuh dan membawanya pulang agar dapat berjuang pada hari lain.

Gelaran Saifullah (Pedang Allah) dikurniakan Nabi Mohammad, justeru Khalid sudah terkenal dengan gelaran ini lama sebelum pertempuran Mu'tah berlaku.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

hebatnya kisah sahabat baginda.