Jumaat, 4 Julai 2014

KISAH PENGAJARAN - HUKUMAN DUNIA

Jom baca kisah pengajaran. Ini baru hukuman dunia...belum di akhirat lagi...BERTAUBAT selagi masih sempat

Sketsa kehidupan : CUKUPLAH SEKALI, TIDAK AKAN KU ULANGI LAGI !

Kali ini kita kongsikan kisah benar yang dilalui oleh seorang hamba Allah, berlaku di dalam masyarakat kita namun teramat jarang bagi kita untuk mendengar kisah-kisah mereka yang hidupnya terkurung di dalam tirai besi…yakni penjara…

Jadikanlah apa yang dipaparkan ini sebagai renungan dan perisai diri agar diri tidak mudah hanyut dengan kehendak hati dan bersyukurlah dengan nikmat Islam dan Iman yang telah Allah SWT anugerahkan di dalam hati sanubari kita dan peliharalah ia dengan sebaik-baiknya,­ InsyaAllah aamiin.

~ Sudah hampir lapan tahun aku menjadi penghuni di kamar sempit ini. Selama itulah aku tidak berpeluang mengucup tangan ibu dan ayah di pagi 1 Syawal. Sementara anak-anak dan isteri terlepas  detik-detik Indah saat kami saling memohon kemaafan.

Namun aku tidak mampu memutar kembali waktu. Andai boleh ku ubah semula, pasti tidak akan kubiarkan ia berlaku.

Aku dimasukkan ke sini atas sabit kesalahan mengedar ganja di bawah seksyen 39A (2), Akta dadah Berbahaya, dan dikenakan hukuman lapan tahun penjara serta 10 kali sebatan.

Aku tidak pernah menyalahkan takdir. Semua itu kerana salah sendiri. Aku mula terlibat dengan barang terlarang itu sejak tahun 1995. Ketika itu aku hanya gunakan untuk keperluan sendiri.

Disebabkan telah lama terlibat dengan penagihan ganja aku kenal kawan-kawan yang menjualnya secara pukal. Kerana itu aku tidak menolak apabila seorang kawan meminta agar aku mendapatkan bekalan untuknya.

Atas dasar “ingin menolong”, aku tunaikan janji seperti yang diminta. Malangnya aku terperangkap. Apabila sampai di tempat yang dijanjikan, tiba-tiba aku diserbu sepasukan polis yang sudah bersedia menanti kedatanganku.

Aku tergamam. Tidak tahu apa yang harus dilakukan kecuali mengangkat tangan menyerah diri seperti apa yang diarahkan. Saat itu aku dihantui perasaan yag begitu menakutkan. Wajah anak-anak dan isteri mula terbayang silih berganti. Bagaimana keadaan mereka apabila aku berada di dalam penjara nanti ?

Selama ini, walaupun aku seorang penagih ganja, aku tidak pernah mengabaikan tanggungjwab terhadap mereka. Aku sentiasa memastikan segala keperluan, makan pakai disediakan secukupnya.

Setelah puas turun naik mahkamah, aku dijatuhkan hukuman. Sebaik saja mendengar hukuman, aku terkulai….Kemudian aku dibawa keluar dalam keadaan yang tidak bermaya.

Dari jauh aku melihat ibu, ayah, isteri dan anak-anakku, memandangku dengan penuh rasa hiba. Dan aku membalas pandangan mereka dengan seribu sesalan.

Setelah itu, sahlah aku menjadi tetamu baru yang menghuni kamar yang serba sempit berdinding batu itu. Fikiranku menerawang.

Perasaan Insaf dan sebak mula menghantui diri. Kemudian kurenungi diri…Dalam sinar kamar yang suram, tiba-tiba terdetik satu perasaan halus bahawa Tuhan masih menyayangiku.

Sejak ditangkap dan ditahan reman, aku mula menunaikan kembali solat yang telah lama aku tinggalkan. Aku mula mendekati agama yang pernah aku abaikan. Airmataku, tiba-tiba menitis setiap kali mengingati kejahilan diri.

Selama ini aku hanya bersolat sekadar melepaskan batuk di tangga. Itupun hanya solat maghrib ketika berada di rumah, sekadar mahu menunjukkan kepada isteri dan anak-anak bahawa aku ini menunaikan tuntutan agama.

NYAWA BAGAIKAN TERBANG.

Saat menanti hukuman rotan bagaikan perjalalan yang terlalu panjang. Setiap detik dilalui dengan penuh debaran. Macam-macam cerita yang aku dengar daripada teman-teman yang pernah mengalamiya. Setiap kali mereka bercerita,darah­ku bagaikan tersirap. Sehinggalah tiba saat yang dinanti….

Pagi itu aku dikejutkan oleh berita yang selama ini menghantuiku. Dalam keadaan longlai aku dibawa ke tempat hukuman.

Setiap kali rotan diayun, terasa bagaikan nyawaku terbang dari badan. Hilang seluruh kudrat lelaki…….Hanya teriakan menahan sakit bergema di ruang hukuman sehingga selesai sebatan terakhir.

Darah memercik keluar. Terasa kulit tersiat hancur kesan libasan.Usai perlaksanaan hukuman, ku terpaksa dipapah dan diberikan rawatan.

Selama dua minggu aku terpaksa menahan sakit yang tidak terperi. Azabnya hanya Tuhan yang tahu. Bukan saja sukar bergerak, untuk melakukan rutin harian pun susah. Tidur pun terpaksa mengiring dan meniarap sehingga luka pulih sepenuhnya sebulan selepas itu.

Hukuman itu bukan saja membuatku insaf tetapi benar-benar bertaubat tidak akan mengulanginya lagi. Dalam pada masa yang sama, aku bersyukur kerana diberi peluang kedua untuk merubah diri. Aku pasrah dan redha. Harapanku apa yang aku lalui ini dapat meringankan hukuman di hadapan Allah SWT kelak.

Dalam sukar, aku gagahkan juga untuk menunaikan suruhan Illahi. Teman-teman senasib, ustaz dan kakitangan penjara banyak membantu menguatkan semangatku agar melawan kesakitanku itu serta lebih bersemangat untuk mencari keredhaan-Nya.

Lantaran itu aku banyak mempelajari agama. Aku menggantikan solat yang pernah aku tinggalkan, menunaikan solat-solat sunat seperti solat sunat tahajjud, solat dhuha dan pelbagai lagi. Aku juga kerap berpuasa ganti, puasa sunat hari Isnin dan Khamis.

Terngiang-ngian­g di telingaku, kata-kata mak….kalau masuk ke sini, aku pun masih meninggalkan solat. Dia sudah tidak mampu berbuat apa lagi untukku. Aku bersyukur kerana mempunyai keluarga yang masih menyayangi dan isteri yang setia.

Malah mereka sering melawatku di sini, memberikan galakan agar aku kuat semangat dan tidak mudah berputus asa untuk terus mendekati Allah dan agama-Nya. Semakin lama hatiku semakin tenang. Mungkin apa yang aku alami ini berkat doa emak yang mahu melihat anaknya berubah.

Aapabila mereka datang menjengukku, aku sering menasihati anak lelaki sulung agar tidak mengulangi perkara yang pernah aku lakukan. Aku bersyukur, hasil didikan isteri, anak kami berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

kata orang masa boleh merubah seseorang menjadi apa yang dia inginkan….Selama lapan tahun, ayat-ayat Al-Quran menjadi mainan lidah yang amat mengasyikkan. Aku bukan saja membaca, tetapi mendalami dan memahami maksudnya.

Antara surah kegemaranku, seperti surah Al-baqarah, surah Ali-Imran dan surah yasin, yang penuh dengan peringatan dan pengajaran. Bagiku yang penting bukan sekadar bacaan yang betul, tetapi memahami intipati yang terdapat di dalamnya. Sementara lafaz maksud Bismillahirrahm­aanirrahiim, ayat Qursi dan juga surah tiga Qul itu juga tidak kurang hebatnya. Itu semua antara malan harianku.

Begitu juga dengan doa. Aku lebih selesa berdoa dalam bahasa melayu kerana aku lebih memahami dan dapat menghayati dengan lebih mendalam. Di saat itu aku merasakan begitu dekat dengan-Nya. Aku masih ingat betapa gembiranya isteri dan kedua-dua orang tuaku apabila buat pertama kali aku meminta mereka membawakan tafsir Al-Quran.

Mereka bukan saja membawa apa yang aku minta tetapi juga membawa bahan bacaan tambahan. Selain itu, di sini aku tidak ketandusan bahan-bahan bacaan agama walaupun tidak sebanyak di luar.

Teman-teman dan ustaz tidak pernah lokek untuk berkongsi ilmu. Dalam masa yang sama aku banyak muhasabah diri….memikirkan kisah-kisah silam yang membuahkan penyesalan yang tidak berkesudahan.

Kesan sebatan bagaikan masih tersa sehingga kini. Bunyi libasan rotan yang meratah daging, jelas terdengar. Percikan darah bagaikan masih mengalir. Hanya Tuhan yang tahu betapa pedih dan sakitnya.

Semua itu memberi kesan yang cukup mendalam.Tidak dapat dilafazkan dengan kata-kata. Tidak ada ayat yang paling sesuai untuk disusun melainkan hanya mereka yang mengalaminya sahaja yang memahami.

Andai dibebaskan kelak, aku ingin membina hidup baru bersama keluarga. Peluang kedua yang diberikan oleh Allah SWT inginku gunakan sepenuhnya ke jalan yang diredhai Illahi. Aku ingin tebus kesalahanku sebagai anak, suami dan ayah yang pernah kuabaikan

Begitulah kisahnya…mari sama-sama kita mengambil ikhtibar dan pengajaran darinya. Keindahan Islam bukan hanya sekadar lafaz dan perbuatan tetapi merangkumi seluruh aspek hidup. Ia perlu dipelajari, dihayati dan dinikmati…untuk mendapatkan manisnya Iman dan untuk merasakan ketenangan dan kebahagiaan bila memiliki Cinta Illahi 

Wallahu’alam.

Tiada ulasan: