Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqah yang masyur.
Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-Nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya
mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui
mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang
berbunyi,
"Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada
waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat:-
1. Apa yang engkau lihat (hadapi) maka makanlah,
2. Engkau sembunyikan,
3. Engkau terimalah,
4. Jangan engkau putuskan harapan,
5. Larilah engkau daripadanya."
Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya
menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya
ialah sebuah bukit besar berwarna hitam.
Nabi kebingungan
sambil berkata,
"Aku diperintahkan memakan pertama aku
hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak
dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan
hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku
roti.
Maka Nabi pun mengambilnya lalu disuapkan ke
mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu.
Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.
Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu
pula dengan sebuah mangkuk emas.
Dia teringat akan arahan
mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun
menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu,
kemudian ditinggalkannya.
Tiba-tiba mangkuk emas itu
terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula
sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu,
"Aku telah melaksanakan
perintahmu."
Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa
disedari oleh Nabi itu, mangkuk emas itu keluar semula dari
tempat ia ditanam.
Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor
burung kecil.
Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata,
"Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu
dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam
bajunya.
Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu
pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata,
"Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu
sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."
Nabi itu teringatkan pesanan
arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh
putuskan harapan.
Dia menjadi kebingungan untuk
menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan
untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging
pehanya dan diberikan kepada helang itu.
Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalananya. Tidak
lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat
busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana
tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya.
Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah
Nabi ke rumahnya.
Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata,
"Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."
Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa,
1. Engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukit tetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
2. Semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan,
maka ia tetap akan nampak jua.
3. Jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah
kamu khianat kepadanya.
4. Jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya
demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat.
5. Bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."
** Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita
semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini
sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari.
Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka
mengata hal orang lain.
Haruslah kita ingat bahawa kata-
mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita,
sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada
seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak
pernah dikerjakannya.
Lalu dia bertanya,
"Wahai Allah,
sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku
kerjakan di dunia dulu."
Maka berkata Allah S.W.T.,
"Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu."
** Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang
kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan